Pengenalan dan Latar Belakang
Unit Rehabilitasi Neurologi, Hospital Rehabilitasi Cheras menyediakan perkhidmatan rehabilitasi komprehensif untuk meningkatkan tahap fizikal, kognitif, kemampuan komunikasi dan interaksi sosial seseorang individu yang mengalami masalah neurologikal.
Fungsi Umum Unit Rehabilitasi Neurologi
Unit ini memberi perkhidmatan perubatan rehabilitasi bagi individu yang mengalami strok iskemik dan masalah neurologikal yang melibatkan bahagian otak, saraf dan otot seperti multiple sclerosis, neuromyelitis optica, spinocerebellar ataxia, motor neuron disease, polyneuropathy, muscular dystrophy, cerebral palsy, Parkinson Disease dan lain-lain masalah neurologikal bagi golongan dewasa.
Program perawatan Rehabilitasi Neurologi dirangka khas bagi memastikan seseorang individu menerima manfaat penuh melalui pendekatan rehabilitasi melibatkan pelbagai displin (anggota interdiplinari) untuk mencapai potensi yang maksimum. Pesakit yang dirujuk akan menerima penilaian lengkap oleh anggota interdisplinari yang terlatih di dalam bidang rehabilitasi neurologi. Ini termasuk penilaian fizikal, kognitif, kefungsian, emosi, serta keperluan spesifik termasuk penilaian vokasional dan keperluan alatan rehabilitasi. Pelbagai pendekatan dan intervensi berpandukan bukti saintifik terkini dimanfaatkan bagi memacu pesakit ke arah mencapai tahap kefungsian and keberdikarian yang tinggi.
Perkhidmatan Yang Disediakan oleh Unit Rehabilitasi Neurologi
Perkhidmatan Pesakit Luar disediakan di Klinik Pakar Perubatan Rehabilitasi Neurologi yang menerima rujukan pesakit luar dari hospital dan klinik kerajaan serta rujukan dari pihak swasta dari seluruh negara. Pesakit yang dirujuk akan menerima penilaian rehabilitasi oleh pakar perubatan rehabilitasi dan dirujuk kepada anggota interdisplinari rehabilitasi neurologi yang bersesuaian berdasarkan keperluan kes.
Perkhidmatan Pesakit Dalam memberi fokus bagi individu yang mengalami masalah neurologi yang kompleks dan memerlukan program rehabilitasi neurologi secara komprehensif dan intensif di dalam wad. Perawatan pesakit dalam di wad diselia oleh pakar perubatan rehabilitasi bersama tenaga kerja jururawat dan ahli interdisplinari rehabilitasi neurologi yang terlatih. Perkhidmatan Pesakit Dalam mementingkan aspek ‘Enviromental Enrichment’ bagi mewujudkan ransangan persekitaran yang tinggi dan meningkatkan potensi untuk pulih semasa berada di dalam wad.
Anggota Interdisplinari Perkhidmatan Rehabilitasi Neurologi
Anggota interdisplinari yang menyediakan perkhidmatan Rehabilitasi Neurologi terdiri daripada Pakar Perubatan Rehabilitasi, Pegawai Perubatan, Ketua Juruwarat dan Jururawat Terlatih, Pegawai Terapi Pertuturan, ahli Fisioterapi, Pegawai & Jurupulih Carakerja, Pegawai Psikologi Klinikal, Pegawai Audiologi, Pegawai Farmasi, Pegawai Dietitik, Pegawai Kaunseling, Pegawai Kerja Sosial Perubatan dan Juruteknik Teknologi Perubatan.
Pesakit turut dirujuk untuk menerima intervensi Neuro-Oftalmologi, Psikiatri, Perkhidmatan Pergigian Khas, Penjagaan Spiritual, Pusat Sumber Diabetik, Klinik Berhenti Merokok dan lain-lain perkhidmatan di Hospital Rehabilitasi Cheras jika dinilai perlu berdasarkan penilaian klinikal.